"Life is like riding a bicycle. To keep your balance you must keep moving." -Albert Einstein

EDISI KHAS: Sejarah Pembentukan Malaysia

Wednesday, September 16, 2009

PENDAHULUAN

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan British supaya Brunei, Sabah dan Sarawak digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia. Namun, Kerajaan British menolak cadangan itu kerana Singapura diketepikan. Sementara itu, Lee Kuan Yew, Ketua Menteri Singapura pada masa itu juga menyarankan percantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu. Cadangan Lee Kuan Yew ditolak oleh Tunku Abdul Rahman. Namun begitu, senario politik yang berlaku di Singapura mengubah sikapnya terhadap saranan Lee Kuan Yew.

Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura mencadangkan supaya Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura digabungkan dengan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi. Pada 23 Julai 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan. JPPM memberi peluang kepada pemimpin di Sabah dan Sarawak untuk mengemukakan pandangan memandangkan mereka masih menentang gagasan.

Akhirnya Sabah dan Sarawak menerima gagasan ini dan menyusun satu memorandun untuk dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya ini kemudian menjalankan tugasnya iaitu meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak dan membuat syor perlembagaan baru. Kemudian pada Ogos 1962, Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia. JAK mengeluarkan laporannya pada 27 Februari 1963. Laporan ini diterima dan diluluskan. Berdasarkan laporan ini, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai1963. Pada 16 September 1963, Malaysia diisytiharkan.

PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA

1. Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM)

JPPM ditubuhkan pada 23 Julai 1961. Ia dipengerusikan oleh Donald Stephen (anggota Majlis Undangan Sabah). Anggotanya ialah Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu), Lee Kuan Yew (Singapura), Dato' Mustapha Dato' Harun (Sabah), Temenggung Jugah Anak Berieng (Sarawak) dan Dato' Setia Pangeran Ali (Brunei). Tujuan JPPM ialah:

a. Memberitahu orang ramai mengenai Malaysia.
b. Mengumpulkan sambutan mereka terhadap Malaysia.
c. Menyediakan memorandum mengenai cara pembentukan Malaysia.

JPPM telah memberi peluang kepada pemimpin Sabah dan Sarawak mengemukakan pandangan mengenai gagasan Malaysia. JPPM telah mengadakan 4 mesyuarat di Kota Kinabalu (21 Ogos 1961), Kuching (18 Disember 1961), Kuala Lumpur (6 Januari 1962) dan Singapura (1 Februari 1962). Hasil daripada rundingan yang dijalankan. Sarawak mengeluarkan kertas putih mengenai Malaysia pada 4 Januari 1962 dan Sabah pada 31 Januari 1962. Kemudian, satu memorandum disusun semula dan dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold pada 23 Februari 1962. Kandungan memorandum ini ialah:

a. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas perlembagaan Malaysia.
b. Kerajaan Persekutuan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan.
c. Islam – agama rasmi tetapi rakyat bebas beragama.
d. Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain masih boleh digunakan.
e. Hak istimewa seperti orang Melayu diberi kepada rakyat pribumi Sabah dan Sarawak.
f. Sabah, Sarawak berhak mengawal imigrasennya sendiri.
g. Perwakilan Parlimen berasaskan jumlah penduduk dan jumlah luas kawasan.

Memorandum ini disokong oleh rakyat Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu.

2. Suruhanjaya Cobbold

Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada Januari 1962. Ia dipengerusikan oleh Lord Cobbold (bekas Gabenor Bank of England). Ahli-ahlinya terdiri daripada Sir Anthony Abel dan Sir David Watherston iaitu wakil British dan Muhammad Ghazalie Shafie dan Dato' Wong Pow Nee iaitu wakil Tanah Melayu. Tugas utama suruhanjaya ini ialah:

a. Meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia.
b. Membuat syor-syor perlembagaan.

Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya dari 19 Februari sehingga 18 April 1962. Sebanyak 50 perjumpaan dengan 690 kumpulan orang ramai diadakan. Selain itu, 2000 atau lebih memorandum telah diterima. Pada 18 April 1962, laporan disiapkan dan diserahkan kepada Kerajaan Tanah Melayu dan British pada Jun 1962.

Pada 1 Ogos 1962, laporan ini diumumkan mengenai pandangan rakyat Sabah dan Sarawak:

a. 1/3 menyokong kuat Malaysia
b. 1/3 menyokong dengan syarat
c. 1/3 hendak merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia

Dengan itu, suruhanjaya ini turut menyokong gagasan Malaysia dan mengesyorkan syor-syor Perlembagaan Malaysia seperti dibawah:

a. Nama persekutuan baru – Malaysia.
b. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas Perlembagaan Malaysia.
c. Kedudukan istimewa kaum pribumi Sabah dan Sarawak dijamin.
d. Sabah dan Sarawak berhak memilih Ketua Negeri sendiri.
e. Penduduk pribumi Sabah dan Sarawak dibenarkan berkhidmat dalam perkhidmatan awam secepat mungkin.
f. Dasar pendidikan, ugama, imigresen, perwakilan Parlimen, kedudukan bumiputera, kewangan, kewarganegaraan dan perlembagaan negeri di Sabah dan Sarawak ditentukan oleh Majlis Undangan Negeri masing-masing.
g. Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan. Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi sehingga DUN masing-masing membuat keputusan.
Hampir semua syor diterima oleh British dan diumumkan pada 1 Ogos 1962, Malaysia akan ditubuhkan pada 31 Ogos 1963. Jawatankuasa Antara Kerajaan akan ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia.

3. Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK)

JAK ditubuhkan pada Ogos 1962 untuk merangka Perlembagaan Malaysia. Pengerusinya ialah Lord Landsdowne dan Timbalan Pengerusinya ialah Tun Abdul Razak. Anggotanya terdiri daripada wakil British, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Wakil Sabah telah mengemukakan memorandum yang mengandungi 20 perkara. Antaranya ialah:

a. Agama Islam – agama rasmi persekutuan. Tiada agama rasmi di Sabah.
b. Bahasa Inggeris – bahasa rasmi Sabah; Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan.
c. Imigresen orang asing Sabah di bawah kuasa negeri Sabah.
d. Sistem pendidikan Sabah dikekalkan.
e. Perwakilan Parlimen harus mengambil kira keluasan kawasan dan bilangan penduduk.

Pemimpin Sarawak tidak mengemukakan memorandum tetapi bersetuju dengan memorandum yang dikeluarkan oleh Sabah.

27 Februari 1963 JAK mengeluarkan laporan
8 Mac 1963 Dibentangkan di Majlis Negeri Sarawak
13 Mac 1963 Dibentangkan di Sabah.

Kedua-dua negeri menerima laporan ini dan laporan ini seterusnya diluluskan oleh Parlimen Tanah Melayu dan menjadi Akta Malaysia 1963. Kandungannya ialah:

a. Agama Islam – agama rasmi kecuali Sabah dan Sarawak.
b. Bahasa Melayu – bahasa rasmi persekutuan.

Bahasa Inggeris – bahasa rasmi Sabah dan Sarawak sehingga 10 tahun selepas Hari Malaysia apabila Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak membuat pindaan.

c. Imigresen Sabah dan Sarawak dibenarkan mengawal sendiri.
d. Sistem pendidikan Sabah dan Sarawak dikekalkan di bawah kerajaan negeri sehingga Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri ini membuat pindaan.
e. Perwakilan Parlimen – Sabah 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 kerusi.
Berdasarkan laporan JAK, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Pada masa ini Brunei menarik diri secara rasminya.

4. Pengisytiharaan Malaysia

Berkenaan dengan penubuhan Malaysia, Filipina dan Indonesia menentang kuat. Beberapa rundingan telah diadakan antara kedua-dua negara dengan Tanah Melayu. Akhirnya, MAPHILINDO ditubuhkan. Pemimpin ketiga-tiga negeri bersetuju meminta Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk meninjau kembali pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai penyertaan mereka ke Malaysia. Suruhanjaya PBB yang diketuai oleh Lawrence Michaelmore menjalankan tugasnya dari 16 Ogos – 5 September 1963

Oleh itu, tarikh penubuhan yang ditetapkan terpaksa ditunda. Mengikut laporan PBB, lebih 70% rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia. Maka pada 16 September 1963, penubuhan Malaysia diisytiharkan secara rasminya.

PENENTANGAN GAGASAN MALAYSIA

1. Filipina

Apabila JPPM dan Suruhanjaya Cobbold menunjukkan sokongan kepada penubuhan Malaysia, Filipina telah menuntut hak ke atas Sabah bagi waris Sultan Sulu pada 22 Jun 1962. Filipina mendakwa Sabah dipajak dan bukan diserahkan kepada Baron Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1874. Pajakan ini telah dibatalkan pada tahun 1958. Kerajaan British enggan mengakui kedaulatan Filipina ke atas Sabah. Kerajaan Filipina juga mengemukakan tuntutan yang sama kepada Tanah Melayu tetapi ditolak. Hubungan diplomatik Filipina-Tanah Melayu menjadi genting. Walau bagaimanapun, usaha-usaha dijalankan untuk menyelesaikan persengketaan. Akhirnya, Filipina juga mengiktiraf Persekutuan Malaysia pada Jun 1966.

2. Indonesia

Pada mulanya, Indonesia mengalu-alukan pembentukan Malaysia. Namun, PKI di bawah D.N. Aidit menyifatkan ia merupakan satu penjajahan baru yang mengancam Indonesia. Setelah tercetusnya pemberontakan Brunei, Presiden Indonesia, Sukarno menerima tekanan hebat dari PKI dan mengubah sikap serta menentang gagasan Malaysia. Aidit telah melawat ke Tanah Melayu dan menghasut rakyat dan tentera memberontak. Hubungan Tanah Melayu dengan Indonesia menjadi renggang. Pada 20 Januari 1963, Dr. Subandrio mengumumkan dasar konfrontasi terhadap gagasan Malaysia. Kemudian, Indonesia bersetuju meminta Suruhanjaya PBB bagi meninjau semula pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia. Laporan PBB menunjukkan rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia tetapi Indonesia enggan mengakui.

16 September 1963, Malaysia diisytiharkan secara rasminya. Pada hari ini, Indonesia melancarkan konfrontasi dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Tanah Melayu. Sebab Indonesia melancarkan konfrontasi ialah:

a. Tekanan PKI ke atas Kerajaan Indonesia.
b. Penubuhan Malaysia menghalang cita-cita Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya yang termasuk Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.
c. Sukarno merasa tersinggung kerana tidak diajak berunding mengenai penubuhan Malaysia.

Pada bulan November 1963, serangan gerila dilancarkan. Tentera Indonesia mendarat di Pontian, Labis, Muar dan Kota Tinggi. Pengintip-pengintip juga dihantar. Akibatnya:

a. Dato' Dr. Ismail Abdul Rahman telah meminta bantuan dari PBB dan membuat bantahan mengenai serangan Indonesia.
b. Pasukan pertahanan tempatan atau askar wataniah ditubuhkan.
c. Britain memberi bantuan tentera.
d. Australia, New Zealand, Canada memberi bantuan senjata.
e. Rundingan sulit dengan pegawai Indonesia bukan komunis diadakan.
f. Dato' Abdul Razak melawat ke negara Afro-Asia dan Dunia Ketiga untuk mengikis propaganda Indonesia yang memburuk-burukkan nama Malaysia.

Pada 30 September 1965, gerakan komunis untuk merampas kuasa gagal. Konfrontasi menjadi berkurangan. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik berusaha menamatkan konfrontasi dan mewujudkan persefahaman dengan Malaysia. Hasrat menamatkan konfrontasi wujud apabila Suharto menggantukan Sukarno. Hasilnya, perjanjian damai ditandatangani di Jakarta pada 11 Ogos 1966 selepas Tun Abdul Razak berunding dengan Adam Malik di Bangkok.

PENUTUP

Semua pemimpin dan rakyat Malaysia pada hari ini sewajarnya tidak mengenepikan sejarah dan menghargai perjuangan anak bangsa sehingga Malaysia tertubuh. Kenapa Hari Malaysia tidak mendapat tempat dalam kalendar negara (cuti umum seluruh negara)? Adakah sengaja dilupakan atau tidak mahu rakyat tahu apa hak mereka sebagai rakyat Malaysia sebenarnya.
Nota: Para pemimpin Semenanjung Malaysia (Malaya), Sabah dan Sarawak, janganlah menodai perjanjian yang sudah dimeterai dan membelakangkan hak dan kuasa rakyat, kerana sesungguhnya Malaya, Sabah, dan Sarawak yang membentuk Malaysia Hari Ini.

8 Nakapangkis:

Anonymous said...

apa perkara 20 yg menyebabkan sabah menyertai malaya pd 16 september 1963 ison..

MindaGuru said...

ison, Menteri di JPM Tan Sri Dr koh,bilang dia akan mempromosi Hari Malaysia agar rakyat sedar..semalam sebelum detik 12 mlm dia ada hubungi beberapa pemimpin BN dari Sabah dan Sarawak..

Kita mengharapkan Tan Sri Koh benar2 dapat memperjuangkan kewajaran meniktirafkan 16 sept sebagai cuti tahunan negara. Kalau ini dapat dilaksanakan maka semangat kewujudan MALAYSIA benar2 dihargai..

ison said...

Ya anon... saya fikir itulah sebab utama kenapa Hari Malaysia ini seolah2 dipandang sepi kerana dengan menyemarakkannya akan menyemarakkan kesedaran rakyat Sabah khususnya dan Malaysia amnya bahawa ada perjanjian dalam gagasan Malaysia yang semakin di'arkib'kan.

MindaGuru, bagus juga dijadikan cuti umum tu, tapi sebenarnya yang kita mahu ialah hak2 rakyat Sabah dipelihara dan bukan hanya kerana kepentingan survival politik.

Nota: Faham2 sajalah... Sabah/Sarawak yang menyelamatkan BN dalam PRU yang lalu. :I

Gaaman said...

paparan bagus sempena Hari Malaysia..
Nyata sekali Malaysia adalah hasil gabungan Malaya(Persekutuan Tanah Melayu)+ Sabah + Sarawak. Dengan kata lain sebarang pembahagian kawasan Parlimen, peruntukan pembangunan, pendidikan, jawatan adalah berasaskan nisbah 1:3 BUKAN 1:14..
Wahai pemimpin BN Sabah/Sarawak kenapa membisu ttg isu ini??..

orchardrace said...

Ison,
Seharusnya hari Malaysia disambut diperingkat nasional dan bukan hanya Sabah dan Sarawak sahaja yang menyambutnya. Kalau disambut diperingkat nasional maka bertepatan dengan konsep satuMalaysia. Tetapi jika hanya Sabah dan Sarawak sahaja yang meraikan hari Malaysia, ini memberi makna yang berlainan dan kurang enak pula rasanya. Renung-renungkan dan fikir-fikirkan.

P/S: bagi pendapat saya tiada masalah sekiranya beralih ke rumah buruk tetapi tuan rumahnya lebih prihatin berbanding tinggal di banglo mewah tetapi layanan ala kadar sahaja. Amu po yoku mokopongundi mari ki. Malan...dan alamas...

ison said...

Hehe... aralom ot makna dino 'rumah buruk' om 'rumah mewah' nu pinsan. hehe... nga apaam ku i bo yoku. Arap2 apaam tongo kinoruangan.

Mirad kito i diti. Mongundi i ong waro dit undion baabanar. :P

Ba wowosion sino ki. Peloon oku no tobo ong muli kono siti ki. Oleed kito no amu nokopisambat. Hehe...

orchardrace said...

Pinsan,
Ha3...terpulang no tongo kinoruangan om tulun daton menilai. Gunakan sebaik-baiknya talian hayat anda. Ha3....

Nokoli oku dit 7/9 dit wawagu nga sid K.K okuno. Minamal oku no dot pasport. Mikimaaf tu aku nabalasan it SMS nu, sid changsa, China oku tiya diri.

Muli oku dati bulan 12 diti. Obuli sumombol ko sid sulap ku sid kg masolog. Cuma asono bo ot singarung.

ison said...

Ba, misambat kito bulan 12 bo.

Haha... amu no muru tongo singgarung dino pinsan. Yoku nga nokopinsin no dino. Asal waro po tongo kukupi osukup no. Waro po indosoon sambil mituturan.

Ok. selamat menghabiskan puasa dan Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.

Note: Friendship. Just like the old days. :)