Di ambang Hari Malaysia yang ke-48, malam tadi, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan pemansuhan ISA. Pengumuman tersebut telah mendapat reaksi yang pelbagai bukan sahaja daripada pemimpin di kedua-dua pihak, parti pemerintah dan pembangkang, malah oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini. Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, saya juga ingin memberi buah fikiran berhubung perkara ini sebagai renungan kita bersama.
Pada hemat saya, pengumuman pemansuhan ISA ini sebenarnya ada maksud yang tersirat. Ia dibuat untuk memberitahu rakyat bahawa kerajaan di bawah teraju BN juga boleh memansuhkan ISA seperti mana Pakatan Rakyat (PR) akan buat jika menerajui tampuk pemerintahan negara. Pada masa yang sama ia juga mungkin dibuat sebagai langkah 'keselamatan' oleh BN kerana jika PR menang dalam PRU 13 nanti, barangkali ada di antara para pemimpin BN sekarang yang 'berpotensi' menjadi mangsa ISA apabila kelak menjadi pembangkang pula.
Pemansuhan ISA pada hari ini boleh jadi juga hanya 'gimik' kerana dikatakan bahawa ia akan diganti dengan dua undang2 baru yang belum lagi dinyatakan. Undang2 baru itu masih belum dapat diwartakan kerana penggubalan undang2 perlu melalui pembacaan dan perbahasan sebanyak tiga kali untuk kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Kita perlu sedar bahawa perkara itu tidak sesuai dibuat pada ketika ini memandangkan negara sudah di ambang PRU. Logiknya penggubalan undang2 baru hanya akan dibuat selepas PRU 13, dan jika BN tetap menang, siapa tahu jika undang2 yang baru itu nanti pada dasarnya tetap 'mirip' ISA, cuma dengan nama yang baru atau dengan sebutan lain yang lebih ringkas, hanya 'penjenamaan semula'.
Saya juga tertarik untuk menyentuh pemilihan tarikh dan masa pengumuman pemansuhan ISA itu dibuat. Malam tadi ketika negara sedang dalam mood menyambut Hari Malaysia, pengumuman itu dibuat kerana BN mahu seluruh rakyat di negara ini mengambil perhatian. Seperti penjelasan saya di atas, BN mahu seluruh warga Malaysia tahu bahawa BN 'sebenarnya mengambil berat' pandangan dan kepentingan semua rakyat.
Memang seluruh rakyat di negara ini perlu mengambil perhatian yang serius. Rakyat perlu beri perhatian, dan pehatian itu sekarang seharusnya bukan lagi tertumpu pada pemansuhan ISA yang sudahpun diumumkan, tetapi siapa yang bakal menjadi peneraju penggubalan undang2 negara pada masa hadapan; BN ataupun PR. Undi kita semualah yang menentukannya. Selamat HARI MALAYSIA.






0 Nakapangkis:
Post a Comment