"Life is like riding a bicycle. To keep your balance you must keep moving." -Albert Einstein

TRANSFORMASI PRU13; Inilah waktunya.

Friday, December 16, 2011

PRU13 bakal menentukan hala tuju masa depan negara dan negeri kita. Tidak dapat dinafikan bahawa kita sedang berada di fasa peralihan. Di fasa peralihan transformasi akan berlaku. Pepejal menjadi cecair, cecair menjadi wap, dan begitulah sebaliknya. Dalam konteks politik, tika ini kita harus membuat pilihan 'mahu pilih parti apa dan siapa pemimpin yang bakal diberi mandat menerajui kepimpinan negara dan negeri kita'.

Seperti kata saudara Daniel Jebon Janaun dalam ruang forum Kimaragang di facebook, isu kita bukanlah anti kerajaan sepenuhnya. Kita percaya kerajaan yang ada sekarang memang sudah berusaha merangka dan melaksanakan program pembangunan dengan sebaik mungkin. Tetapi kerajaan ini juga sudah banyak menyeleweng dan menipu rakyat. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah berleluasa di negara ini.

Corruptions Perception Index (CPI) menunjukkan prestasi negara kita semakin merosot saban tahun. Bahkan pada tahun ini negara kita jatuh empat kedudukan berbanding tahun lepas dan menduduki tangga ke-60 dari  sebanyak 183 negara yang terlibat dalam kajian. Kita mungkin boleh mempertikaikan kaedah perolehan statistik ini. Tetapi laporan audit negara kita pula yang melaporkan banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa tidak boleh diketepikan.

Dahulu sistem pendidikan kita amat disegani sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara. Setiap graduan pada masa itu amat berharga dan dibuktikan dengan keupayaan mereka menerjemahkan apa yang dipelajari di universiti ke alam pekerjaan. Kebolehan mereka bertutur dalam bahasa asing khususnya bahasa Inggeris juga amat dibanggakan. Bahkan perwakilan dari negara kita seringkali menjadi rujukan dan jurubahasa kepada perwakilan dari negara-negara serantau pada konvensyen-konvensyen yang disertai. 

Tetapi kini terdapat graduan yang tidak tahupun apa yang mereka sudah belajar di universiti. Keupayaan menulis, bertutur dan memahami bahasa Inggeris juga sangat terhad. Tidak hairanlah kenapa tidak ada satupun lagi universiti di negara ini yang tersenarai dalam kelompok 10 universiti terbaik di rantau Asia Tenggara. Juga tidak hairan kenapa ramai rakyat di negara ini yang memilih untuk melanjutkan pelajaran di negara luar dan bahkan ramai yang terus bekerja dan menetap di sana. Satu kerugian bagi negara kita.

Dari segi ekonomi adakah kita sedang meningkat atau sebenarnya semakin merosot? Menurut Laporan Pembangunan Kemanusiaan 2009 oleh PBB, Malaysia menduduki tempat ke-66 dari segi persamaan ekonomi. Negara kita ketinggalan jauh berbanding negara-negara seperti Singapura (kedudukan ke-23), Hong Kong (kedudukan ke-24), Korea Selatan (kedudukan ke-26), dan Brunei (kedudukan ke-30). Tidak hairanlah kenapa nilai mata wang negara kita semakin rendah berbanding mata wang negara-negara ini.

Kekuatan sistem demokrasi ialah kuasa terletak di tangan rakyat. Tetapi sistem ini juga telah dimanipulasi oleh kerajaan yang ada sekarang dalam usaha mereka mengekalkan kuasa. Isu tentang pengundi hantu dan rakyat asing yang menerima kewarganegaraan dengan begitu mudah sudah biasa bermain di telinga kita. Di manakah hak kita sebagai rakyat yang menginginkan kerajaan yang telus dan benar-benar membela nasib kita, sedangkan kita semakin menjadi terasing di negeri kita sendiri? Kita semakin dibayangi oleh ancaman kepupusan dek pertambahan warga asing yang menjadi 'warganegara' dan bahkan menerima status 'bumiputera' baru di tanah air kita.

Kalau bukan kali ini bila lagi kita mahu bertindak? Kalau bukan kali ini, bila lagi kita mahu berjuang? Kalau kita tidak mengambil peluang kali ini untuk memulihkan keadaan, bila lagi kesempatan yang kita nantikan? Sementara kita masih ada harapan, marilah kita berganding bahu, menggembleng usaha dan tenaga untuk menyelamatkan negara dan negeri kita yang tercinta ini. Kita katakan tidak kepada semua kerosakan yang dibuat oleh kerajaan sedia ada dengan menurunkan undi kepada parti dan pemimpin yang sungguh-sungguh berjiwa rakyat dan berjuang demi kepentingan rakyat dan tanahair ini.

0 Nakapangkis: